Category: Am
Hampir 400 Calon Tingkatan 1 Menghadiri Temuduga
Seawal jam 7.30 pagi tadi, ramai ibubapa telah hadir ke Sekolah ini bersama anak mereka yang terpilih bagi menghadiri temuduga pengambilan pelajar tingkatan 1 bagi tahun 2012.
Sesi temuduga ini diadakan dalam 5 peringkat yang bermula pada jam 8.00 pagi, 8.30 pagi, 9.00 pagi, 9.30 pagi dan 10.00 pagi. Ramai calon yang datang dari negeri Terengganu dan ada juga dari Selangor, Kelantan dan beberapa negeri lain.
Pegawai-pegawai dari Yayasan Terengganu hadir bagi memberi penerangan mengenai cara-cara untuk mengikuti sesi temuduga tersebut. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Imtiaz Yayasan Terengganu, Tuan Haji Ahmad Kamal bin Abdullah serta Encik Azwandi, Ustaz Wan Azman serta Ustaz Wan Zakry juga turut kelihatan bagi melihat proses temuduga. KPP seterusnya telah mengadakan taklimat kepada ibubapa yang hadir untuk memberi penjelasan mengenai SM Imtiaz Yayasan Terengganu.
Pihak sekolah juga telah menerima kunjungan dari pegawai pendidikan daerah Miri Sarawak untuk melihat sendiri proses temuduga yang dijalankan oleh pihak Yayasan Terengganu bagi pengambilan pelajar tingkatan 1 kemasukan tahun 2012.
Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya
Hud Al Hashir Bercita-Cita Menjadi Imam Masjidil Haram
KUALA TERENGGANU, 24 NOV: Dilahirkan di Sepang, Selangor pada tahun 1994, Muhammad Hud Al Hashir bin Haironeze merupakan seorang pelajar yang sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan. Beliau juga merupakan Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010/2011.
Seorang anak yang mempunyai bapa yang bekerja sebagai pramugara ini berazam mendapat keputusan 11A+ dalam peperiksaan SPM yang sedang berlangsung sekarang. Mempunyai 4 orang adik beradik dan beliau merupakan anak yang pertama. Apabila ditanya kenapa memilih Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu sebagai tempat pembelajaran, beliau menyatakan bahawa amat berminat tentang hafazan Al Quran dan sekolah ini mempunyai ciri-ciri tersebut.
Yang uniknya beliau bercita-cita ingin menjadi Imam di Masjdil Haram satu masa nanti. Suaranya sungguh merdu apabila mengalunkan bacaan Al Quran. Semoga cita-cita beliau dimakbulkan Allah.
Lawatan Pegawai-Pegawai Dari Sektor Pendidikan Islam Negeri Johor dan Guru-Guru Bahasa Arab
KUALA TERENGGANU, 23 NOV: Pihak pengurusan sekolah yang terdiri daripada Puan Pengetua, Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, Setiausaha Sekolah, Ketua-ketua Jabatan serta Ketua panatia Bahasa Arab hari ini telah meraikan kehadiran pegawai-pegawai dari Sektor Pendidikan Islam Negeri Johor dan Guru-guru Bahasa Arab jam 10.25 pagi tadi yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah, Ketua Sektor Pendidikan Islam.
Dalam ucapan pengerusi majlis, Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abd. Ghani mengucapkan selamat datang kepada semua pegawai tersebut dan semoga dapat menghubungkan tali silataurrahim.
Manakala dalam ucapan aluan pula, Puan Pengetua mengucapkan terimakasih dan berbangga kerana menjadikan sekolah ini sebagai satu destinasi pilihan.
Dalam ucapan balas, Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada warga sekolah kerana sudi menerima rombongan ini walaupun masa tidak begitu sesuai memandangkan cuti persekolahan dan peperiksaan SPM masih lagi berlangsung.
Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kerana baru-baru ini sekolah ini telah mendapat New Deals dan juga penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau mendoakan agar satu lagi sejarah akan dicatat apabila sekolah ini menunggu keputusan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi ( SBT ).
Antara lain tujuan lawatan ini adalah untuk melihat apakah keistimewaan yang ada di sini dan boleh dijadikan contoh serta input yang sangat bernilai untuk dibawa balik.
Sila klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya.