Majlis Kesyukuran Dan Solat Hajat


KUALA TERENGGANU, 13 Okt:  
Sempena penganugerahan New Deal dan Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan, satu majlis kesyukuran telah diadakan pada hari ini . Para jemputan telah mulai tiba jam 12.30 tengahari dan berakhir pada jam 2.00 petang. Manakala sebelah petang pula, Program Solat Hajat SPM 2011 bermula jam 4.30 petang dan berakhir 11.20 malam.

Terdahulu dari itu, seawal jam 7 pagi, 2 ekor lembu telah ditumbangkan bagi persiapan kedua-dua majlis tersebut. Haji Baharuddin yang merupakan salah seorang bapa kepada pelajar tingkatan 5 di sekolah ini telah menyumbangkan seekor lembu manakala puan pengetua juga tidak ketinggalan untuk menyumbangkan seekor lagi lembu.

Ramai guru, kakitangan serta pelajar turut sama membantu bagi persiapan majlis ini. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat menyebabkan kerja dilaksanakan dengan begitu cepat sekali.

Sementara itu, Majlis Temu Murni telah diadakan di dewan Assyatibi bermula jam 4.30 petang untuk pelajar 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula pada 14 November ini. Ramai ibubapa yang hadir.

Satu program motivasi juga telah diadakan dan dikendalikan sepenuhnya oleh pakar Motivasi terkenal, Ustaz Mohd Mizan. Kemudian ibubapa bersama pelajar sama-sama menunaikan Solat maghrib berjamaah serta menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat.

Program berakhir sebaik sahaja slot motivasi  selesai jam 11.20 malam.

Sila klik DI SINI untuk melihat gambar suasana majlis tersebut.

Peperiksaan PMR 2011 Berakhir Hari ini

KUALA TERENGGANU, 11 Okt: Lihatlah wajah mereka, begitu ceria sebaik sahaja peperiksaan PMR selesai jam 10.40 pagi tadi.

Seramai 119 pelajar Sekolah Kluster Kecemerlangan ( SKK ) Imtiaz Kuala Terengganu telah menduduki peperiksaan tersebut. Semoga keputusan yang akan diumumkan nanti akan mendapat kelulusan yang terbaik.

Tahniah dan syabas untuk pelajar PMR SKK Imtiaz Kuala Terengganu

Rombongan Pengetua-Pengetua dan Penolong Kanan Majlis Agama Islam Pulau Pinang

KUALA TERENGGANU, 10 Okt: Sekolah Kluster Kecemerlangan Imtiaz Kuala Terengganu KOSPINT telah menerima kunjungan dari Negeri Pulau Pinang Jam 9. 20 pagi.Rombongan ini terdiri daripada Pengetua-Pengetua dan Penolong Kanan dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ( SABK ) dan Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) seramai 33 orang.

Mereka telah disambut dengan penuh ceria oleh Pengetua Ustazah Mardziah binti Che Abdullah, Penolong Kanan HEA Ustazah  Faidahnam binti Busu, Penolong Kanan HEM Tuan Haji Ahmad Ridhuan bin Abd Ghani, Penolong Kanan Kokurikulum Ustaz Md Nor bin Yahya, Penolong Kanan Ulul Albab Tuan Haji Mohd Amin Faisal bin Haji Uzip serta semua Ketua Jabatan.

Dalam ucapan aluan, puan Pengetua mengucapkan terima kasih kepada rombongan dari Pulau Pinang yang telah memilih Sekolah ini sebagai  satu destinasi untuk mendapatkan maklumat mengenai Sekolah.

Dalam ucapan balas dari ketua rombongan, Ustaz Ahmad Ridhuan bin Abdul Wahab, beliau bersyukur kerana selamat sampai ke Sekolah Kluster kecemerlangan Imtiaz Kuala Terengganu KOSPINT dan berterima kasih kerana sudi menerima kunjungan ini.

Tujuan diadakan lawatan ini adalah untuk melihat pelaksanaan Kurikulum dan hafazan Al Quran sebagai persiapan awal untuk pelaksanaan di sana.

Klik DI SINI untuk melihat gambar seterusnya

Kelebihan Orang Yang Menghafaz Al Quran

Al Quran merupakan Kalamullah yang di turun kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk membawa kesejahteraan kepada umatnya di dunia dan juga di akhirat. Banyak kelebihan bagi orang yang membaca Al Quran. Begitu juga bagi orang yang menghafaz Al Quran, Allah akan memberi 2 ganjaran iaitu ganjaran di dunia dan di akhirat.

Ganjaran di dunia

  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)

  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.

“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)